Tuesday, July 27, 2010

JELAJAHI SYAABAN

Rejab baru sahaja berlalu,namun diharapkan semoga kita dapat bertemu lagi dengan Rejab pada tahun hadapan. Kini, Syaaban pula menjengah menandakan kita semakin hampir dengan bulan mulia bulan Ramadhan. Lebih kurang 15 hari lagi semua umat Islam sedunia diwajibkan berpuasa. Betapa cepatnya masa berlalu. Sebelum melangkah ke bulan Ramadhan, sebaiknya bagi umat Islam mengambil beberapa hari dalam bulan Syaaban untuk berpuasa sunat. Jika kita fikir sejenak mesti ada fadhilatnya yang perlu kita singkap. Antaranya adalah untuk membiasakan diri kita untuk berpuasa sebelum datang bulan Ramadhan yang kita sama-sama nantikan selama ini.


Hukama’ berpendapat, bulan Rejab adalah kesempatan untuk kita meminta ampun dari segala dosa. Bulan Syaaban pula adalah kesempatan untuk memperbaiki diri daripada segala sifat cela. Manakala Ramadhan pula bulan untuk mengubati hati dan jiwa.

Apakah maksud SYAABAN sebenarnya ?


Syaaban bererti berpecah atau bercerai-berai. Ia diambil sempena peristiwa orang Arab pada bulan tersebut berkeliaran ke merata-rata tempat untuk mencari air. Pendapat lain mengatakan Syaaban bermaksud pemisah iaitu pemisahan antara bulan Rejab dan Ramadan.


Rasulullah saw telah bersabda yang bermaksud:

“Tahukah kamu sekalian, mengapa dinamakan bulan Syaaban? Maka umatnya menjawab: Hanya Allah dan RasulNya yang lebih mengetahui”. Baginda meneruskan sabdanya: “Kerana di dalam bulan itu berkembanglah kebaikan yang banyak sekali.”
(Dipetik dari kitab Raudatul Ulama).

Apakah amalan yang harus dilakukan ?


a) Memperbanyakkan puasa sunat:


i. Dalam Kitab Durratun Nasihin dinyatakan bahawa Rasulullah saw bersabda bermaksud:
“ Sesiapa yang berpuasa tiga hari pada permulaan Syaaban, tiga hari pertengahannya dan tiga hari pada akhir Syaaban, maka Allah swt mencatat untuknya pahala seperti pahala tujuh puluh nabi dan seperti beribadat tujuh puluh tahun dan apabila dia mati pada tahun itu maka matinya seperti orang mati syahid.”


ii. Jika berpuasa sehari dalam bulan Syaaban akan diharamkan tubuhnya dari api neraka. Dia akan menjadi taulan nabi Yusof di dalam syurga. Diberi pahala seperti pahala nabi Ayub dan Nabi Daud.


iii. Jika berpuasa sebulan pada bulan Syaaban, dipermudahkan Allah kepadanya Sakaratulmaut dan ditolaknya (terlepas) daripada kegelapan dalam kubur, dilepaskan daripada huru-hara Mungkar dan Nangkir, ditutup keaibannya di akhirat nanti dan diwajibkan syurga baginya.


iv. Sesiapa yang berpuasa pada awal Khamis di bulan Syaaban dan akhir Khamis (juga dalam Syaaban) dimasukkannya dalam syurga .(Hadis Rasulullah yang dipetik dari kitab al-Barokah.)
v. Rasulullah saw turut bersabda yang bermaksud: “ Dinamakan Syaaban kerana padanya terdapat kebajikan yang amat banyak dan puasa yang lebih afdal sesudah Ramadan ialah puasa bulan Syaaban.”



b) Perbanyakkan doa, zikir dan berselawat kepada Rasulullah saw:
Sabda Nabi saw yang bermaksud: “Barang siapa yang mengagungkan bulan Syaaban, bertakwa kepada Allah, taat kepadaNya serta menahan diri dari perbuatan maksiat, maka Allah swt akan mengampuni segala dosanya dan menyelamatkannya pada tahun tersebut dari segala macam bencana dan penyakit.” (Dipetik dari kitab Zubdatul Wa’izhin)



c) Bertaubat:
Bulan Syaaban merupakan bulan untuk kita memperbanyakkan taubat kepada Allah swt.



NAMUN,SEKIRANYA AMALAN-AMALAN SUNAT SENTIASA DILAKUKAN,DAN KITA BERISTIQAMAH DENGANNYA, ITU ADALAH LEBIH BAIK!!

Berukhwah untuk kebaikan,
Khas untuk adik-beradik FPI,
daripada:
Lajnah Hubungan Luar dan Pengintegrasian

No comments:

Post a Comment