Saturday, July 17, 2010

PERUTUSAN MAJLIS PERWAKILAN PELAJAR TAHUN 3


NIK AHMAD SHAFIE BIN RAJA DAUD
MPP TAHUN 3
FAKULTI PENGAJIAN ISLAM

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, alhamdulillah diucapkan kepada Allah s.w.t yang dengan izinNya kita masih lagi dapat meneruskan kehidupan dan perjuangan kita sebagai seorang khalifah di muka bumi juga sebagai mahasiswa Islam.
Salam ukhwah kepada semua sahabat Mahasiswa Fakulti Pengajian Islam, Universiti kebangsaan Malaysia. Tiada kata yang dapat diucapkan melainkan jutaan terima kasih atas sokongan anda dalam pemilihan MPP baru-baru ini. InsyaAllah dengan amanah ini, saya akan berusaha dengan sedaya upaya untuk menyempurnakannya dengan sebaik mungkin.

Kita selaku mahasiswa Islam merupakan harapan kepada seluruh masyarakat di luar sana. Berada di Universiti adalah suatu yang menjadi kebanggaan kepada kita, keluarga dan juga masyarakat. Malah mahasiswa yang mempelajari bidang agama sangat dinanti-nantikan oleh masyarakat. Ilmu yang ditimba pada masa sekarang akan dituai atau di tadah oleh masyarakat di luar sana pada suatu masa kelak. Pada kita disandarkan segunung harapan bahawa kita akan keluar kepada masyarakat pada suatu hari nanti dengan ilmu yang penuh di dada.

Para masyarakat mengharapkan kita akan menjadi sumber untuk mereka mengetahui dan memahami lagi sesuatu hal dalam agama mahupun hal-hal lain. Persoalannya, adakah kita sebagai mahasiswa ataupun ustaz dan ustazah ini sudah bersedia untuk berkongsi ilmu apabila keluar kelak. Andai belum, maka bertungkus-lumuslah kita dari sekarang sebelum kepenatan melanda pada masa akan datang.

Saya juga ingin memperingatkan kepada sahabat-sahabat mahasiswa agar kita sentiasa berusaha meningkatkan pengurusan profesional Islam. Biarlah segala kerja atau usaha yang dilakukan mengikut cara yang ditetapkan dalam Islam iaitu dengan merujuk kepada cara yang ditetapkan dalam Al-Quran dan Al-Sunnah. Islam itu penuh dengan keindahan. Segala cara hidup telah diajar oleh agama yang mulia ini melalui utusan agung Nabi Muhammad s.a.w. Kita mesti menjadikan Islam sebagai cara hidup kita sehari-hari. Ini bermakna ilmu agama bukan hanya dipelajari tetapi juga mesti dipraktikkan dalam kehidupan kita.
Akhir sekali saya mengucapkan selamat membuat persediaan ke arah kecemerlangan.
Sebarang aduan sila hubungi saya :
Nik Ahmad Shafie Bin Raja Daud
No. HP : 019-9092943
http://penampp.blogspot.com/
Alamat Emel : nikqalbonda@yahoo.com

No comments:

Post a Comment