Saturday, July 17, 2010

PERUTUSAN YANG DIPERTUA PMFPI SESI 2009/2010


AMIR HAKIMI BIN AWANG BAKAR
YANG DIPERTUA
PERSATUAN MAHASISWA FAKULTI PENGAJIAN ISLAM
SESI 2009/2010
FAKULTI PENGAJIAN ISLAM
UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Dengan nama Allah yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang, marilah kita bersama-sama menzahirkan rasa syukur kita kepada Allah Taala kerana dengan rahmat dan kasihNya kita dapat merasai nikmat yang paling besar dalam hidup kita sebagai hamba Allah dimuka bumi ini iaitu nikmat Iman dan nikmat Islam. Selawat dan salam ditujukan kepada junjungan besar kita Nabi Muhammad s.a.w. dan ahli keluarganya serta para sahabat.

“Patah tumbuh, hilang berganti”. Tahniah diucapkan buat barisan kepimpinan baharu Persatuan Mahasiswa Fakulti Pengajian Islam PMFPI sesi 2009/2010. Semoga amanah yang ditaklifkan ini akan dapat kita pikul bersama dengan sebaik-baiknya demi melahirkan mahasiswa yang cemerlang seiring dengan visi Fakulti Pengajian Islam iaitu ke arah membentuk graduan yang beriman, bertakwa, berilmu, berakhlak, kreatif, proaktif dan berminda global.

Tanpa yang lama tidak akan ada sesuatu yang baharu, ucapan jutaan terima kasih juga ditujukan kepada barisan kepimpinan PMFPI sesi 2008/2009. Semoga kita istiqamah dalam meneruskan perjalanan kita sebagai Khalifah Allah di muka bumi dan ingatlah bahawa tugas kita sebagai penuntut ilmu itu tidak akan berakhir kerana ilmu Allah itu amatlah luas dan mendalam. Ilmu merupakan aset terpenting yang seharusnya ada dalam diri kita sama ada meliputi ilmu agama, sains, ekonomi, perundangan dan sebagainya.

Sebagai penyudah bicara, saya mewakili Persatuan Mahasiswa Fakulti Pengajian Islam berharap agar seluruh mahasiswa Fakulti pengajian Islam akan dapat memberi kerjasama dan komitmen terhadap semua program yang dianjurkan oleh pihak pentadbir Fakulti Pengajian Islam dan Persatuan Mahasiswa Fakulti Pengajian Islam itu sendiri. Firman Allah s.w.t “Demi masa. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian . Melainkan yang beriman dan mengerjakan kebajikan serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran”.(al-asr :1-3). Semoga segala yang baik itu akan dapat kita laksanakan dan sebarang kekurangan akan dapat kita tampung bersama. Kitalah generasi baharu harapan pengislah ummah. Selamat bermujahadah di jalanNya.

No comments:

Post a Comment